KUANTAN: Sebuah kilang kereta perisai bakal bertapak di Kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa II dalam merancakkan lagi pembangunan daerah Lipis sebagai bandar pertahanan, sekali gus memancu kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat serta peluang pekerjaan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihak syarikat, MILDEF International Sdn Bhd akan mula melabur apabila Fasa 1 kilang peluru Ketech Asia Sdn Bhd beroperasi sepenuhnya yang dijangka pada suku akhir tahun ini.

Beliau berkata tapak projek kilang kereta perisai itu telah diluluskan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, manakala agensi pelaksana projek itu adalah di bawah tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

“Sejajar dengan kelulusan projek kilang pembuatan peluru dan kilang kereta perisai ini, semua bentuk pelaburan berkaitan pertahanan akan dicadang untuk dilaksanakan di dalam Kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa II.

“Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan upah dan kontrak perkhidmatan melalui peluang-peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan kelak kepada penduduk tempatan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin tahu tahap kemajuan pelaksanaan Lipis sebagai Bandar Pertahanan serta kesan positif kepada penduduk setempat.

Ketika menjawab soalan tambahan Mustapa mengenai langkah kerajaan dalam memastikan kilang kereta perisai itu tetap dibina dan situasi bekalan air yang sering terjejas di kawasan terbabit, Wan Rosdy berkata PKNP dan PSK sentiasa membuat tindakan susulan bersama pihak berkenaan.

“Agak sukar pergi ke tempat lain sebab sudah ada kilang peluru (di situ) ... berkaitan bekalan air, saya difahamkan PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) telah menjalankan rundingan untuk pastikan masalah bekalan air tidak berlaku apabila kilang dibina di situ,“ katanya.

Mengulas mengenai kilang pembuatan peluru bernilai RM150 juta dan pertama di negara ini dibangunkan di atas tanah milik PKNP yang dipajak kepada syarikat berkenaan dengan keluasan 40 hektar, Wan Rosdy berkata ia telah mencapai 82 peratus siap setakat 15 Mac lepas.

“Kelulusan dasar diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri pada 4 Mac 2022 bagi mendapatkan lesen mengilang peluru di bawah Seksyen 12 Akta Senjata 1960 [Akta 206] di Kuala Lipis bermula 1 Jan 2022 hingga 31 Disember 2024. Pembukaan kilang itu dijangka membuka 150 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib berkata dalam tempoh 10 tahun dari 2013, PSK telah menandatangani 235 Perjanjian Jual Beli/Pajakan dan 22 Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi projek pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

“Daripada jumlah MoU itu, empat daripadanya telah direalisasikan melalui Perjanjian Jual Beli/Pajakan yang telah menyumbang kepada kerajaan negeri sebanyak RM534.2 juta,“ katanya menjawab soalan dibangkitkan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) berhubung memorandum yang telah ditandatangani antara kerajaan negeri dan pelabur asing atau tempatan dalam tempoh 10 tahun.