KUANTAN: Seramai empat daripada 15 individu yang ditahan untuk siasatan berkaitan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak di Genting Highlands yang tular di media sosial baru-baru ini, akan didakwa di Mahkamah Bentong, esok.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pendakwaan terhadap empat individu itu, akan dilakukan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan manakala yang selebihnya dibebaskan dan akan menjadi saksi kepada kes tersebut.

“Mereka (empat orang) yang akan didakwa esok merupakan seorang lelaki dan tiga wanita berusia dalam lingkungan 23 hingga 24 tahun. Kesemuanya (15 orang) tiada anak Timbalan Menteri atau VIP (anak orang kenamaan) yang terlibat dalam aktiviti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dipetik berkata polis telah menahan 15 individu membabitkan 10 lelaki dan lima wanita berusia 23 hingga 28 tahun, ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk membantu siasatan, pada Sabtu.

Bagaimanapun, mereka semuanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

Pada 13 Mei, klip video berdurasi 50 saat yang memaparkan aktiviti memasak di stesen minyak, tular melalui laman sosial X dipercayai dilakukan oleh sekumpulan pemilik kenderaan, sehingga menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat.