JOHOR BAHRU: Jenazah penyanyi veteran Datuk A Halim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, di sini pada jam 4.05 petang tadi.

Terdahulu jenazah Allahyarham diurus dan disolatkan di Masjid Al Falah Seri Alam, sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu dengan diiringi ahli keluarga, saudara dan rakan.

Anak bongsu Allahyarham yang mahu dikenali sebagai Fizree, 37, ketika ditemui berkata kesemua ahli keluarganya sempat berada di sisi Allahyarham kira-kira jam 2.20 pagi tadi, sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir lapan jam kemudian.

“Ayah kelihatan penat, namun kami sempat bermaaf-maafan untuk kali terakhir. Ibu kami Datin Fatimah Bahrim, 75, dan kami bergilir-gilir menjaganya sehingga akhir hayatnya,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu.

Beliau berkata bapanya menghidap kencing manis dan darah tinggi sebelum lumpuh sejak lima tahun lepas.

A Halim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohammad Diah, 77, meninggalkan balu Fatimah bersama enam orang anak, 24 cucu dan lima cicit.

Beliau yang dimasukkan ke Hospital Penawar Pasir Gudang semalam selepas mengalami sesak nafas, meninggal dunia pada jam 10.01 pagi tadi akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Berita pemergiannya turut disahkan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil atau dikenali sebagai Zed Zaidi.

Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah pula dilaporkan sebagai berkata sepanjang pembabitan dalam dunia seni, A Halim pernah bernyanyi bersama beberapa kumpulan kugiran antaranya Kumpulan De’ Fictions, Kumpulan The Wanderers dan Kumpulan The Wisma.

Selain itu, beliau turut merakam beberapa buah album antaranya Album Hitam Manis, Ep Gadis Buta, Salam Mesra Dari A Halim dan antara lagu dendangannya ialah Doa Dan Harapan, Dendang Terakhir, Kawan Lama, Kan Hilang Nanti, Kisah Dan Tauladan, Ku Tetap Kasih, Cenderawasih, Budi Pekerti.