HULU SELANGOR: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) perlu memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao, demi kesinambungan pembangunan di kawasan itu, kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata dengan memilih calon yang sealiran dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini, ia juga akan membolehkan taraf hidup penduduk setempat dapat terus ditingkatkan.

“Saya nak semua bagi sokongan kepada Pang demi kesinambungan khidmat yang dicurahkan mendiang Lee (Kee Hiong). Saya kenal Lee dan tahu bagaimana dia memberi khidmat dan sekarang ini kita ada anak muda untuk digantikan, untuk memberi khidmat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pemangku Ketua Wanita DAP Selangor yang juga Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin dan Pang.

Sementara itu, Pang, 31, berkata dalam tempoh kempen yang berbaki kurang daripada 48 jam sebelum hari pengundian, beliau akan terus melipatgandakan usaha mendekati seramai mungkin pengundi untuk memastikan kemenangannya di kawasan itu.

“Saya merayu kepada pengundi di KKB supaya beri saya peluang untuk berkhidmat dan sebagai anak muda, saya beriltizam untuk meneruskan legasi Lee,” katanya dan menambah penerimaan pengundi terhadapnya adalah positif.

PRK itu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.