GUA MUSANG: Polis telah selesai memanggil 14 individu untuk dirakam keterangan berhubung kes pedofilia melibatkan seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tumpat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua mereka dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti penulis yang memuat naik hantaran di laman sosial berkait dakwaan berlakunya kes itu.

“Kami masih lagi menunggu laporan perubatan ke atas mangsa kerana dia pernah belajar di MRSM berkenaan dan kertas siasatan akan dihantar kepada pendakwa raya untuk mendapat nasihat,” katanya kepada kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya di Dewan Tanjung, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, di sini malam tadi.

Sebelum ini, polis memberi jaminan siasatan kes seorang guru MRSM Tumpat yang didakwa melakukan pedofilia terhadap seorang murid lelaki akan selesai dalam tempoh sebulan.