KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak percaya bahawa syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners yang menerima jutaan wang dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akhirnya dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, dikawal atau dimiliki kerajaan Arab Saudi.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, 37, berkata bekas perdana menteri itu, memaklumkan perkara itu kepada SPRM ketika kenyataannya direkodkan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika disoal peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhubung transaksi yang berlaku antara Blackstone dan akaun peribadi Najib berakhir 9694.

Wan Azwan Aiman: Anda bersetuju dengan saya bahawa apabila pegawai SPRM mengambil kenyataan daripada Najib dan dia memberitahu bahawa dia percaya Blackstone dimiliki atau dikawal oleh Almarhum Raja Abdullah dan kerajaan Arab Saudi?

Nur Aida: Ya, betul.

Untuk rekod, Blackstone ialah sebuah syarikat yang dikawal ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong, juga dikenali sebagai Eric Tan yang juga seorang pelarian.

Wan Azwan Aiman: Kamu bersetuju bahawa, semasa rakaman percakapan direkodkan oleh pihak SPRM, Najib tidak pernah bersemuka dengan apa-apa dokumen bahawa Eric Tan adalah benefisiari Blackstone?

Nur Aida: Setuju

Saksi itu juga bersetuju bahawa Najib tidak pernah mengarahkan Eric untuk memindahkan RM90,899,927.30 ke dalam akaun bank peribadinya pada 2012, dan beliau juga bersetuju bahawa SPRM juga tidak mengambil sebarang kenyataan daripada Eric, berkaitan transaksi itu.

Sebelum ini dilaporkan Jho Low menubuhkan Blackstone Asia Real Estate Partners, sebuah shell company dengan nama yang sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate dan Low didakwa dengan sengaja menggunakan satu konvensyen penamaan untuk shell company luar pesisir yang diwujudkannya, bagi menyerupai syarikat yang telah matang dalam konspirasinya mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.

Najib,70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung Selasa.