ALOR SETAR: Bekas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada bekas Ahli Parlimen Merbok dijatuhi hukuman denda sebanyak RM45,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan bantuan baik pulih rumah berjumlah RM29,500, empat tahun lepas.

Mohamad Khalid Abdul Hamid, 46, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen N. Priscilla Hemamalini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan akan dihukum penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Mohamad Khalid dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu tiga invois atas syarikat Zaifol Azri Abu Seman berjumlah RM29,500 di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok pada 20 Jan 2020.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam dan kesalahan yang dilakukan berleluasa serta merugikan kerajaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan dia kini yang bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM2,500 sebulan, perlu menyara ibu yang tidak sihat serta tiga anak saudara.

Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Zahariman Keman, Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd Yasri Yahya.