HULU SELANGOR: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan bahawa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri oleh kerajaan negeri di pekan Kuala Kubu Baharu (KKB) semalam, melanggar peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau menjelaskan tidak wujud sebarang elemen kempen pada penganjuran rumah terbuka itu dan program tersebut tidak hanya terhad kepada penduduk KKB sebaliknya terbuka kepada semua warga Selangor.

“Ia (penganjuran program itu) memang ikut giliran sebab sebelum ini kita buat di semua daerah dan kita memang pilih kawasan ini kerana kebetulan ia lokaliti pertama rumpun Selangor oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Melihat respons yang baik jadi kita buat di sini...sambutan Tahun Baharu Cina telah berlangsung di Dengkil atau di Daerah Sepang baru-baru ini, jadi mungkin nanti sambutan merdeka kita boleh gilirkan (lokasi) untuk rapat dengan komuniti atau masyarakat,“ katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Riuh Raya #KitaSelangor 2024 di sini.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka yang didakwa dianjurkan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB diadakan.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.