KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman 186 pekebun Musang King sekitar Raub terhadap keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang mengeluarkan notis arahan pengosongan tanah.

Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Datuk Saiful Edris Zainuddin berkata Hakim Datuk Mohd Radzi Harun memutuskan bahawa pekebun terbabit tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk berada di tanah berkenaan.

Beliau berkata mahkamah turut mengesahkan status mereka sebagai penduduk haram dan tindakan kerajaan negeri mengusir mereka tidak berniat jahat.

“Malah pelan pemutihan yang ditawarkan juga tidak ada unsur berat sebelah dan masih boleh dirunding dengan pihak-pihak terlibat,“ katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan di sini hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan pekebun terbabit membayar kos berjumlah RM600,000 kepada semua responden.

Pada 2020, mereka memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang telah ditanam dengan pokok durian Musang King sekitar Raub termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Selain menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga ingin membuat semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan serta hak penggunaan tanah terbabit kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pekebun terbabit juga ingin menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terbabit kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Responden turut diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Dorah Abdul Kadir, Abdul Hafiz Razat, Fatin Nur Syahirah serta peguam Tan Sri Cecil Abraham, Datuk Sunil Abraham, Noor Muzalifah Shabudin, Mohd Irwan Ismail, Yap Jing Wen, Datuk Mohd Yazid Mustafa, Datuk Mohd Najid Husain dan Nornajihah Ahmad Nadjemudin manakala pekebun terbabit diwakili peguam Siew Choon Jern, Chen Chiu Hua, Lim Pit Feng dan Brendan Siva.

Siew ketika ditemui pemberita memaklumkan pihaknya akan meneliti keputusan itu sebelum menasihati anak guam mereka untuk membuat rayuan.