KOTA BHARU: Tiga daripada enam penunggang motosikal yang terlibat nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 9.9 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu di sini kelmarin berada dalam keadaan stabil.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata Erzat Che Johan, 41, Muhammad Alif Ikhwan Mohd Adnan, 19, dan Muhammad Izlan Hakimi Mohd Yusof, 21, masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Semalam, tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah akibat berlanggar sesama sendiri dalam nahas membabitkan enam motosikal dan sebuah kereta.

Mangsa terdiri daripada penunggang motosikal berumur lingkungan 19 hingga 21 tahun yang menunggang secara berkumpulan dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu.