MANJUNG: Mendiang Leftenan T. Sivasutan, 31, seorang daripada 10 mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam, disifatkan sebagai anak yang baik hati dan tidak pernah menolak segala permintaan orang tuanya.

Bapa mendiang, M. Thanjappan, 61, berkata satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik itu hanya menurut permintaan ibu dan bapanya tanpa sebarang persoalan.

“Saya berani kata di sini, anak saya mendiang Sivasutan seorang anak yang sangat baik hati, tidak pernah menolak permintaan orang tua dia. Jika saya dan isteri kata inilah yang sesuai untuk kamu, dia terima sahaja...kalau mak dia sakit dia terus beli ubat.

“Kalau emak dia tengok barang cantik di TikTok, esok barang itu sampai (dibeli oleh Sivasutan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Sitiawan dekat sini hari ini.

Thanjappan berkata mendiang Sivasutan merupakan simbol kegembiraan keluarga dan pemergiannya membawa bersama segala kenangan manis yang sebelum ini dikongsi bersama.

“...bukan sahaja jasad pergi tetapi segala keseronokan, kebaikan dan kegembiraan dia bawa bersama. Saya dan isteri saya macam dah separuh mati, tinggal jasad sahaja, mungkin mengambil sedikit masa untuk saya menerimanya,” katanya.

Thanjappan berkata disebabkan tragedi itu juga seluruh negara telah mengenali mendiang Sivasutan yang merupakan antara juruterbang berketurunan India dalam pasukan TLDM Lumut.

Dalam kejadian pada 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM terkorban selepas dua helikopter terhempas semasa menjalani latihan lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut di sini.