KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan lima kontena berisi minuman keras pelbagai jenama bernilai RM474,064.76 selepas disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini dalam lima kes berasingan, minggu lepas.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata barangan itu dipercayai cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Sepanggar, dekat sini dengan jumlah duti serta cukai barangan terbabit dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta.

Beliau berkata kelima-lima kontena itu ditahan pada 16 hingga 18 April lepas setelah pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu dengan kerjasama Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar berdasarkan hasil maklumat risikan.

“Modus operandi bagi kelima-lima kes ini ialah membuat pengikraran palsu. Antara barang yang diikrarkan ialah hand tools, aluminium fittings, driller, stove, chain, fishing net, lighting bulb, dan plat aluminium bagi tujuan penyeludupan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat perkapalan, kelima-lima kontena terbabit datang dari dua negara iaitu Hong Kong dan Singapura.

Selain itu, Mohd Nasir berkata siasatan awal turut mendapati maklumat premis diberikan adalah tidak tepat dan siasatan lanjut mengenai perkara itu akan dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 52 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967, katanya.

Mohd Nasir turut menggesa orang ramai membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok dan minuman keras, selain dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,“ katanya.