MARANG: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, dekat Bukit Payong, di sini kira-kira 11.40 pagi tadi.

Kemalangan itu mengakibatkan pasangan Che Roslan Abdul Manan, 58, dan Siti Aesah Abu Bakar, 67, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Razman Setapa berkata kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki pasangan itu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 24 tahun.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan yang bekerja sebagai peniaga itu keluar secara tiba-tiba dari satu simpang sehingga menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat.

“Kejadian berlaku semasa pacuan empat roda dari arah Kuala Berang ke Kuala Terengganu itu sampai di lokasi kejadian, .. pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak sempat mengelak lalu terlanggar sisi sebelah kanan motosikal,“ katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Razman berkata kedua-dua mereka yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayat dihantar ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.