SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kajian untuk menambah baik termasuk meningkatkan gaji penjawat awam negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata kajian tersebut yang dijangka mengambil masa kira-kira satu bulan setengah akan meneliti pelbagai faktor.

“(Usaha menambah baik) ini akan melibatkan implikasi kewangan (kepada Sarawak) tetapi saya lihat kita boleh menanggung kenaikan (gaji) yang akan kita umum dalam masa sebulan setengah lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Simunjan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini antara tertinggi dan terbaik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam ialah RM1,795 sebulan.

Perincian mengenai kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 yang dijangka pada Oktober depan.