HULU SELANGOR: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) dinasihatkan supaya tidak mengikut emosi ketika mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 11 Mei ini.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sebaliknya, pengundi perlu melihat kepada rekod perkhidmatan penyandangnya Lee Kee Hiong yang telah melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat dengan baik.

“Jadi pengundi perlu memilih wakil rakyat yang boleh membantu mereka dalam isu-isu tempatan (dan) memilih calon daripada blok kerajaan juga memberi kelebihan kepada masyarakat di sini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke bangunan Mahkamah Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam program berasingan bersama calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao, Azalina berkata usia muda bukanlah penghalang untuk bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memberikan khidmat dengan baik kepada masyarakat.

“Saya tidak pernah melihat umur itu melambangkan kematangan dan bagi saya (apa yang) lebih penting ialah sistem sokongan daripada parti kepada calon mereka yang bertanding di sini.

“Sistem sokongan itu termasuklah kekuatan parti, pengalaman parti dan juga nasihat daripada mereka yang berpengalaman di dalam parti itu. Ini termasuklah wakil rakyat sedia ada di dalam parti (dan) ini akan membantu calon (apabila menang untuk) menjalankan tanggungjawab mereka untuk rakyat,” katanya.

Pada PRK berkenaan, Pang ditentang oleh tiga pencabarnya Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau (Bebas).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei.