KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pengeluaran limau bali sebanyak 134,000 kilogram bernilai RM527,000 setakat 7 Mei lepas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata hal itu secara tidak langsung mencerminkan potensi pertanian limau bali yang boleh diterokai oleh para petani di Sabah.

“Pada 2023, industri limau bali di Sabah mencatatkan hasil sebanyak 268,000 kilogram bersamaan dengan RM966,000. Sabah merupakan satu daripada pengeluar limau bali utama di Malaysia selain Perak.

“Justeru, bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dalam pengeluaran serta pengeksportan limau bali, satu standard atau piawaian dalam kalangan petani dan pengeluar limau bali tempatan harus diwujudkan selaras dengan konsep PINTAR yang menjadi hala tuju kementerian tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah di Tenom, hari ini.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah, Bahagian Kawalan Racun dan Perosak Baja, Jabatan Pertanian Malaysia serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sabah.

Selain itu, Arthur berkata matlamat menurunkan kadar kerosakan lepas tuai daripada 30 hingga 50 peratus kepada kurang 30 peratus sepanjang rantaian bekalan akan dapat dicapai menerusi pengajaran amalan-amalan terbaik dalam pemasaran.

“Ini seterusnya membantu mengurangkan kerugian hasil pertanian dan menjadikan industri pertanian lebih berkesan dan efisien,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan sesi menandatangani Perjanjian Hadapan (Forward Agreement) antara FAMA Sabah dengan 22 peserta penanam buah limau bali Tenom.

Menerusi perjanjian itu katanya, FAMA Sabah menyasarkan pembekalan limau bali sebanyak 10 metrik tan seminggu dan sejumlah 480 metrik tan setahun dengan kenaikan harga awal RM3.80 sekilogram berbanding harga semasa RM3.60 sekilogram.

Arthur percaya peserta tanaman limau bali di Tenom akan dapat mencapai sasaran ditetapkan dengan bimbingan agensi kementeriannya di Sabah serta sokongan padu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri.

Usaha itu juga sekali gus berupaya menjadikan industri penanaman limau bali sebagai pemangkin untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat di Tenom, katanya.