PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan dua aktivis untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Peguam Negara (AG) yang menggunakan kuasa budi bicaranya untuk tidak mendakwa dua pendakwah iaitu Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan Firdaus Wong Wan Hung yang dikatakan menghina penganut agama Hindu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan sebulat suara menolak permohonan yang dikemukakan oleh S. Sivakumar dan M. Rajasegaran.

Harmindar berkata isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pemohon telah diselesaikan oleh mahkamah dalam kes Sundra Rajoo dan tiada merit dalam permohonan mereka untuk membolehkan ia didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan.

“Kami mendapati permohonan bagi kebenaran tidak memenuhi kehendak di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.

Beliau berkata AG atau Pendakwa Raya tidak memiliki kuasa budi bicara mutlak atau tidak terikat di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan ia hanya boleh dicabar di mahkamah dalam keadaan yang jarang berlaku atau luar biasa.

Sivakumar dan Rajasegaran memohon kebenaran mahkamah bagi meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Mereka meminta mahkamah memutuskan dua persoalan undang-undang berhubung kuasa budi bicara AG untuk melakukan pendakwaan.

Pada 12 April 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kedua-dua aktivis untuk memulakan semakan kehakiman.

Mereka memohon deklarasi bahawa keputusan AG untuk tidak mendakwa Muhammad Zamri dan Wong di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 26 April 2021 adalah batal serta tidak sah.

Turut dimohon ialah perintah mandamus bagi memaksa AG memulakan prosiding jenayah terhadap kedua-dua pendakwah.

Kedua-dua aktivis mendakwa dalam prosiding berasing membabitkan permohonan anggota badan bukan kerajaan bagi memulakan pendakwaan peribadi terhadap Muhammad Zamri dan Wong, pihak pendakwaan telah memaklumkan Mahkamah Majistret bahawa polis telah mengklasifikasikan laporan terhadap kedua-dua pendakwah sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ atau NFA.

Pada 1 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kedua-dua aktivis.

Peguam T. Gunaseelan mewakili Sivakumar dan Rajasegaran manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi hadir bagi pihak AG.