KUALA LUMPUR: Pengusaha stesen minyak yang menjadi mangsa ugutan sindiket penyeludupan bahan api bersubsidi digesa membuat laporan polis, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata isu melibatkan lesen pengusahaan minyak adalah di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan bayaran subsidi minyak diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Namun, jika wujud sebarang unsur ugutan terhadap pengusaha stesen minyak, maka ia menjadi bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jika ada (ugutan), maka pihak berkenaan harus membuat laporan polis untuk PDRM mengambil tindakan selanjutnya,” katanya selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah di Flat Sri Sabah, Cheras, di sini hari ini.

Program sehari itu memfokuskan kepada pencegahan jenayah terhadap masyarakat setempat selain diadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat ini PDRM belum menerima laporan polis berkaitan isu ugutan tersebut.

Selasa lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan terdapat pengusaha stesen minyak diugut sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada mereka.

Beliau berkata selain menerima ugutan, ada antara pengusaha stesen minyak terbabit turut didatangi samseng.