SEPANG: Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh isterinya, dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu.

Hafizul Hawari, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah.

“Faham (pertuduhan) tidak mengaku bersalah,” katanya.

Hafizul didakwa cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 1.09 pagi, 14 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hafizul yang memakai t-shirt berwarna hitam dan dikawal ketat oleh pasukan polis tiba di Kompleks Mahkamah Sepang pada kira-kira pukul 8.15 pagi.

-- LAGI