KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemandu peribadi bagi membantu siasatan kes khianat dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki di Jalan Memanda 9, Jalan Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata suspek berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira 10 malam di Jalan Kampung Melayu Tambahan, Ampang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan mangsa yang berusia 47 tahun telah menunjukkan isyarat lucah kepada suspek yang memandu Toyota Alphard selepas kenderaan itu berhenti mengejut di hadapan keretanya di sebuah plaza tol kira-kira 1.20 tengah hari.

“Selepas itu, suspek terus keluar dari kereta dan mengetuk cermin kereta mangsa lalu terus memukulnya hingga terjatuh serta tidak sedarkan diri.

“Suspek juga bertindak menyepak pintu kereta di sebelah kanan. Kerugian dianggar RM2,000,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata polis menerima laporan kejadian daripada isteri mangsa dan mangsa yang dirawat di Hospital Ampang didiagnosis mengalami hematoma pada mata kanan.

Beliau berkata suspek yang memiliki tujuh rekod jenayah lampau kini direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.