SEREMBAN: Sebanyak 15,753 aduan kepenggunaan diterima di seluruh negara, termasuk 7,711 aduan menerusi platform Aduan Suri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata aduan tertinggi menerusi platform Aduan Suri adalah berkaitan transaksi dalam talian sebanyak 2,105 kes diikuti aduan berkaitan harga (1,978 kes) dan perkhidmatan mengelirukan (1,342 kes).

“KPDN turut menerima aduan suri ini dalam kalangan lelaki iaitu hampir 50 peratus, ia adalah saluran paling popular setakat ini dan mudah digunakan. Sebanyak 95 peratus aduan diselesaikan dan bakinya masih dalam tindakan kementerian.

“Di Negeri Sembilan, jumlah aduan direkodkan adalah sebanyak 479 aduan termasuk 217 melalui Aduan Suri, 93 peratus telah diselesaikan dan selebihnya dalam tindakan kementerian,“ katanya pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Centrio, Seremban 2 di sini hari ini.

Beliau berkata aduan tertinggi melalui Aduan Suri di Negeri Sembilan adalah berkaitan harga barangan (135 kes), transaksi dalam talian (123 kes) dan perkhidmatan mengelirukan (58 kes).

Pengguna boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan peniaga kepada KPDN melalui pelbagai saluran seperti QR Kod Aduan Suri, WhatsApp ke 019-279 4317 / 019-848 8000, aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN dan portal aduan kementerian.