PUTRAJAYA: Perincian mengenai kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 yang dijangka pada Oktober depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata kenaikan gaji melebihi 13 peratus itu membuktikan komitmen kerajaan kepada penjawat awam.

“Pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada hari ini amat-amat positif. Saya percaya inilah yang diperjuangkan golongan pekerja dan kita seharusnya menyambut baik usaha ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini, sekali gus yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Mengulas lanjut Menteri Komunikasi itu berkata kenaikan itu hanya boleh berlaku susulan pengurusan dan tatakelola yang lebih baik diamalkan Kerajaan Perpaduan, terutamanya dalam usaha melawan rasuah.