SHAH ALAM: Peminat sukan bola sepak tanah air boleh menarik nafas lega susulan pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim, yang menjalani pembedahan ketiga petang semalam, terus menunjukkan reaksi positif selain sudah menyatakan hasrat mahu pulang.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pembedahan yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu tertumpu pada prosedur ‘skin allograft’ atau tampalan kulit yang diimport dari Belgium dan Faisal menunjukkan semangat luar biasa untuk kembali pulih seperti sedia kala.

Shahril berkata pemain berusia 25 tahun itu akan mengharungi pembedahan susulan lain selepas ini namun ketika ini Faisal memerlukan rehat secukupnya untuk memastikan tampalan kulit yang tertumpu pada bahagian lengan dan rusuk ‘serasi’ dengan dirinya.

“Alhamdullilah (pembedahan ketiga) berjalan lancar. Saya diberitahu Faisal lebih ceria (dan) lebih seronok, saya dengar pagi ini dia dah mula berjalan dalam bilik, pergi bilik air sendiri (dan) pastinya itu satu perkembangan yang sangat positif.

“Saya diberitahu macam kita tanam rumputlah (skin allograft). Kita tanam rumput, kita tak letak satu padang rumput tapi kita buat dalam tampalan. Jadi tampalan ini akan tumbuh perlahan-lahan dalam masa yang sesuai,” katanya selepas melawat Faisal di sebuah hospital swasta di sini hari ini.

Beliau berkata Faisal juga berkemungkinan dipindahkan daripada Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) ke Wad Unit Pergantungan Tinggi dalam lebih kurang seminggu sekiranya mendapat ‘lampu hijau’ daripada doktor.

Shahril berkata pemain yang mesra disapa ‘Mickey’ itu tetap ceria walaupun pergerakannya terbatas dan menekankan pihaknya akan sentiasa memberi sokongan psikologi kepada Faisal serta ahli keluarganya.

Sebelum ini dilaporkan Faisal yang mengalami lecur tahap empat memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.