KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua juruwang sebuah pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang lebih RM100,000 tahun lepas.

Norfazilah Nordin, 56, didakwa melakukan pecah amanah wang RM161,076.55 yang diamanahkan kepadanya untuk kegunaan sendiri di sebuah pasar raya di Plaza Salak Park, Taman Desa Petaling di Cheras antara 3 dan 9 Nov 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga empat belas tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun Norfazilah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan dia tidak bekerja dan mempunyai masalah kesihatan.

Di mahkamah sama, peniaga Lim Ze Young, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan urus niaga pinjaman wang kepada seorang lelaki sebanyak RM30,000 dengan kadar faedah 25 peratus tanpa lesen yang sah di sebuah kondominium di Brickfields di sini antara 15 Dis 2023 sehingga 22 April 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Raihanah berkata pihaknya tidak menawarkan jaminan namun jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM50,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Jeremy Tan yang mewakili Lim memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya baharu menjalankan perniagaan sukan selain memohon pasport tidak diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Azrul Darus membenarkan Norfazilah dan Lim masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 12 Jun ini untuk sebutan kes Norfazilah dan 19 Jun untuk Lim.