GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan tujuh kru warga asing dan dua bot atas pelbagai kesalahan melibatkan hasil tangkapan berjumlah 4,300 kilogram.

Pengarahnya Kapten Maritim Razali Kasim dalam kenyataan berkata kapal APMM Pulau Pinang yang menjalankan rondaan menahan sebuah bot nelayan tempatan dikendalikan tiga kru warga Kemboja di 30 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini, semalam.

Beliau berkata bot nelayan Kelas C itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan bot itu untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati bot itu menggunakan pukat tunda sebagai alat menangkap ikan dan dikendalikan tiga orang kru termasuk tekong yang kesemuanya lelaki Kemboja berusia 26 hinggga 38 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang kru sahaja mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah manakala dua lagi tiada sebarang dokumen dan ketiga-tiga mereka gagal mempamerkan surat kelulusan bertulis untuk bekerja di atas bot daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,“ katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menahan sebuah bot nelayan Kelas C bersama empat nelayan warga Myanmar berusia 34 hingga 56 tahun kerana pelbagai kesalahan, termasuk tiada dokumen pengenalan diri di perairan Pulau Kendi, dekat sini pada 18 April lepas.