KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap telefon bimbit milik anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu berusia 14 tahun yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan di rumah mereka baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata siasatan itu dilaksanakan untuk melihat kandungan dalam telefon bimbit mangsa.

“Telefon bimbit berkenaan ada kata laluan dan kita telah hantar kepada pihak forensik untuk memastikan tiada masalah teknikal berlaku dan kita akan tunggu laporan daripada mereka,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Jauteh berkata ACP Dzulbaharin Ismail pada masa ini bertugas seperti biasa dan masih menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu.

Pada 16 April lepas, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu disebabkan tembakan di bahagian dada kanan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Shahurinain Jais dilaporkan berkata hasil siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan hasil bedah siasat di Hospital Lahad Datu merumuskan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa.

Terdahulu, Jauteh menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara bekas Ketua Polis Daerah Beluran ACP Kasim Muda yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu baharu menggantikan ACP Mohd Zaidi Abdullah yang akan bersara wajib.

Jauteh berkata pihaknya yakin dengan pengalaman selama lima tahun sebagai Ketua Polis Daerah Beluran, Kasim mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Semua yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ialah mereka yang berkebolehan dan diyakini mampu menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan baik dan cemerlang,“ katanya.

Sementara itu, Kasim berkata, “Saya akan laksanakan operasi tiada hari tanpa tangkapan narkotik ... semua usaha yang dilakukan sebelum ini juga kita akan teruskan dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa”.