IPOH: Akta Pembangunan Mineral 1994 perlu dipinda dalam usaha memenuhi keperluan pembangunan kerangka model perniagaan unsur nadir bumi (REE) negara, menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata kerangka perundangan itu adalah perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perbincangan dibuat mengenai penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka dan mengawal selia industri berkenaan.

“GLC itu bagi saya perkara nombor dua sebab apa-apa kena ada kerangka perundangan, itu kena jelas...selepas itu kita nak buat GLC, sektor swasta atau mengeluarkan tender, kita boleh bincang, tetapi perkara pertama yang kita kena ada ialah kerangka perundangan.

“Jadi, kita rasa kalau nak harapkan Akta Pembangunan Mineral ini mungkin ada beberapa aspek yang perlu kita pinda untuk kita dapat memenuhi keperluan REE,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan pertemuan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan tiga kementerian bagi membincangkan pembangunan kerangka model perniagaan REE negara baru-baru ini.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata pertemuan NRES dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi antaranya membincangkan langkah memajukan industri REE serta unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang perlu dilihat secara menyeluruh.

Dalam perkembangan lain Nik Nazmi meminta semua negeri mempercepatkan proses pindaan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 sebagai Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pemakaian) di negeri masing-masing dengan NRES bersedia membantu sebagai pemudah cara.

Beliau berkata melalui pindaan tersebut, pelbagai peraturan boleh diguna pakai bagi melindungi kawasan hutan daripada diteroka sewenang-wenangnya tanpa mengikut garis panduan ditetapkan.

“Buat masa ini hanya Perlis dan Selangor telah mengguna pakai pindaan akta ini yang telah dibuat dua tahun lalu dan saya percaya negeri-negeri lain pun sedang berusaha ke arah pindaan itu,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyempurnakan acara penanaman pokok Antiaris Toxicaria atau pokok Ipoh.