JOHOR BAHRU: Polis menahan 11 individu disyaki terlibat tawaran kerja palsu dan pelaburan tidak wujud dalam serbuan di dua unit kediaman sekitar bandar raya ini, Isnin lepas.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata mereka terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita warga asing serta dua lelaki tempatan berusia 28 hingga 45 tahun.

Beliau berkata polis turut merampas antaranya 41 unit telefon bimbit, enam unit komputer dan tiga kad ATM dalam serbuan kira-kira 6 petang itu.

“Siasatan awal mendapati ahli sindiket berkenaan menyasarkan mangsa dari luar negara dengan menggunakan Facebook dan Telegram,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya sindiket berkenaan dipercayai menggunakan mata wang kripto sebagai medium pembayaran dan turut menawarkan penjualan talian telefon bimbit luar negara.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.