KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua umat Islam supaya mempunyai satu iltizam untuk bersama-sama merapatkan saf dan bergandingan mempertahankan agama dalam suasana Islam yang sentiasa ditekan di seluruh dunia.

Al-Sultan Abdullah menegaskan umat Islam perlu mempunyai hasrat perjuangan yang sama dalam menegakkan syariat Islam biarpun mempunyai DNA (asid deoksiribonukleik) yang berbeza.

“Walaupun kita negara Malaysia, Pahang mempunyai populasi rakyat beragama Islam lebih kecil berbanding negara lain, namun kita tidak harus berada dalam satu persimpangan jalan yang boleh memecahbelahkan.

“Di sini saya ingin menegaskan, setiap daripada kita yang berada di Malaysia khususnya di Pahang mempunyai DNA berbeza dengan DNA mereka yang datang dari luar, tetapi hasrat perjuangan menegakkan syariat Islam perlu mempunyai satu hasrat yang sama, iaitu satu hati, satu jiwa, satu buah fikiran dan satu cara kita hendak laksanakan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penutupan ‘International Conference on Contemporary Education in The Islamic World (ICCEIW)’ yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad di sini hari ini.

Turut berangkat sama Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah bahawa umat Islam tidak sewajarnya menyokong mana-mana keganasan khususnya yang digerakkan oleh umat Islam atas nama perjuangan menegakkan agama kerana ia tidak ada dalam tuntutan agama.

“Khususnya, kita dengar dahulu ada kumpulan ISIS, Daesh yang mana telah merosakkan imej Islam, menakut-nakutkan bukan sahaja agama lain tetapi juga menakutkan orang Islam kerana cara mereka membawa agama melalui kekerasan, paksaan dan ini bukannya yang kita amalkan di negara ini (termasuklah di Pahang),” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah isu Islamofobia turut memberikan tekanan kepada orang Islam apabila masyarakat dunia mempunyai persepsi yang tidak benar mengenai agama Islam.

Sehubungan dengan itu, baginda melihat persidangan ICCEIW penting sebagai antara usaha menangkis permasalahan Islamofobia.

“Persidangan seperti ini perlu untuk kita mendapat ilham, mencari panduan, mencari wahyu supaya kita dapat bangkit dengan satu rumusan supaya kita boleh memperjuangkan apakah sebenar perwatakan corak Islam yang akan datang,” titah baginda.

ICCEIW merupakan persidangan yang julung kalinya diadakan kerajaan Pahang dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia (Rabitah al-Jamiat al-Islamiyyah).

Persidangan selama tiga hari bermula Ahad lepas itu disertai seramai 300 peserta dari 22 negara antaranya Indonesia, Brazil, Syria, India, Libya, Tunisia, Kanada dan Arab Saudi.

Persidangan itu yang turut disertai Rektor Universiti Al-Azhar Prof Dr Salamah Daud bertujuan untuk menyediakan satu dimensi baharu perbincangan ilmu dalam bidang-bidang ilmu terutamanya bidang pendidikan.