GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Lumut, Perak, Selasa lepas.

Sumbangan yang merupakan peruntukan khas ketua menteri itu diserahkan sendiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow kepada bapa Allahyarham, Ramli Abd Hamid, 69, ketika menziarahi kediaman keluarganya di Pantai Jerejak di sini, petang ini.

Chow berkata kerajaan negeri sedia untuk berbincang mengenai bentuk bantuan lain kepada keluarga Allahyarham selepas ini dan berharap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM melakukan siasatan sebaik mungkin bagi mengetahui punca sebenar kejadian yang turut mengorbankan sembilan lagi anggota TLDM.

“Kita semua sedih atas kejadian yang mengorbankan 10 orang wira negara lebih-lebih lagi keluarga mangsa. Kita turut memberikan sedikit sumbangan hari ini sebagai tanda prihatin atas tragedi yang menimpa,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Chow meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama ahli keluarga Allahyarham. Turut hadir Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Laut Wilayah 3 Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa.

Bercakap kepada pemberita, Ramli mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri yang memberikan sumbangan dan kata-kata semangat ketika dirinya amat memerlukan sokongan selepas kehilangan anak dalam tragedi menyayat hati itu.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak turut menziarahi keluarga Allahyarham dan meluangkan kira-kira 30 minit bertanyakan khabar dan perkembangan terkini mengenai siasatan tragedi itu.

Beliau menyerahkan sumbangan berupa cek bernilai RM10,000 kepada isteri Allahyarham Sofiyyah Sa’adon daripada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang selain RM30,000 yang disumbangkan oleh beberapa ahli korporat.

Keluarga Muhammad Firdaus turut menerima tiga kotak makanan keperluan asas daripada yayasan tersebut.

Muhammad Firdaus, 44, Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, antara 10 tentera yang maut dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumut, Perak, Selasa lepas.

Allahyarham meninggalkan isteri, Sofiyyah, 42, serta seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Jenazah Muhammad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini semalam selepas solat jenazah dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja Ipoh, Perak.